6 Jan 2011

IBU BAPA RASULLULLAH MASUK SYORGA

Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم – Bahagian 1.

Al-Faqir telah diminta oleh beberapa orang kawan untuk menulis satu artikel yang sangat berat bagi al-Faqir. Sehari dua lepas, seorang kenalan semasa daurah tahun lepas menalipon al-Faqir lagi dan minta supaya dituliskan juga, dan “paparkan di al-Fanshuri” katanya. al-Faqir sekadar menjawab insyaAllah. Sebelum ini juga ada pengunjung menyuarakan permintaan dishoutbox untuk menulis tajuk yang sama. Artikel yang diminta al-Faqir tulis adalah mengenai kedudukan ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Menurut mereka, ada segolongan yang bermazhab ‘tiada bermazhab’ …. (faham-faham je lah …) telah melemparkan isu yang sensitif [dan biadab] di khalayak awam iaitu … ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di neraka, ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mati dalam keadaan musyrik dan sebagainya. Bahkan salah seorang dari mufti dikalangan mereka disebuah tanah ‘arab juga berfatwa sedemikian … Ya Allah, aku berlindung denganMu dari beraqidah yang sedemikian rupa.
Memandangkan isu sensitif ini yang dilontarkan kepada masyarakat awam yang rata-rata tidak mengetahui dalil bagi pendapat yang mengatakan bahwa ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , selamat dari azab nereka, maka al-Faqir mengambil keputusan untuk menulis sekadar pengetahuan yang ada. Maka terlebih dahulu al-Faqir memohon ampun dan maaf andaikata terdapat kesalahan dan kesilapan dalam menukilkan pendapat para ulama. Teguran dan tunjuk ajar daripada para asatizah, terlebih dahulu ucapkan terimakasih. Pada mulanya al-Faqir bercadang untuk meminta Ustaz Khuwaidim menyemaknya dahulu, tetapi memandangkan beliau sibuk dengan pengajian kilat bersama pelajar beliau, maka al-Faqir papar sekadar apa adanya sajalah.
Sebenarnya persoalan ini telah pun dijawab oleh para ulama besar ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti Imam as-Sayuthi didalam kitabnya al-Ta’zim wa al-Minnah fi Anna Abawayy al-Rasul fi al-Jannah dan Masalik al-Hunafa’ fi Walidayy al-Mustafa, Abu Hafs Umar Ibn Syahin, Imam al-Qurtubi di dalam al-Tazkirah, Syaikh Ibrahim al-Baijuri didalam Tuhfatul Murid ‘ala Jauharatit Tauhid, Mufti Mesir Dr. Ali Jum’ah di dalam al-Bayan Lima Yusygilu al-Adzhan, Dr Abdul Malik bin Abdurrahman al-Sa’adi didalam al-Bid’ah al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiiq dan lain-lain.
Selain itu, ulama kita juga telah menjawab persoalan ini seperti Syaikh Nawawi al-Banteni didalam Nuruz Zholam Syarah Mandzumah ‘Aqidah al-‘Awaam, Sayyid Yusuf bin ‘Ali aL-Zawawi, Mufti Terengganu didalam fatwanya yang dikeluarkan pada tahun 1971, Syaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi didalam bukunya Wahabisma dari Neraca Syara’, Ustaz Mujahid bin Abdul Wahab didalam bukunya Keislaman Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dan bebaru ini di ruangan bicara agama di akhbar Utusan Malaysia bertarik 9 November 2008, soalan yang sama dikemukan, dan ianya dijawab oleh Ustaz Muhammad Yusof Abas dengan baik. Al-Faqir paparkan disini untuk dikongsi bersama.
SOALAN: Adakah ibu bapa Nabi [صلى الله عليه وآله وسلم] termasuk dalam mereka yang terselamat di akhirat nanti sedangkan ada hadis yang mengatakan bahawa Baginda pernah bersabda: “Bapa kamu dan bapaku dalam neraka” – Sanusi Samsul, Taiping, Perak.
JAWAPAN: Menurut pendapat ahlul haq, mereka yang berada di antara dua masa para rasul itu (mereka yang dikenali sebagai ahlul fatrah) atau mereka yang tidak diutuskan rasul kepada mereka itu, mereka dikira terselamat dan tidak diazabkan di akhirat nanti. Ini termasuklah ibu bapa Nabi kita. Ia berdasarkan firman-Nya yang bermaksud “Kami tidak menyeksa (sesiapa) sehingga Kami utuskan Rasul dan utusan (untuk menerangkan yang benar dan salah)” (Maksud Surah al Israa’ ayat 15).
Adapun sabda Nabi [صلى الله عليه وآله وسلم] tadi yang mengatakan “Bapamu dan bapaku dalam neraka” itu dikatakan hadis ahad yang tidak dapat menolak dalil qat’ai dari al-Quran. Justeru itu para ulama kita mengatakan maksud dengan perkataan bapaku dalam hadisnya tadi boleh difahami sebagai bapa keturunan (seperti datuk neneknya, bapa saudara seperti Abu Talib dan Abu Lahab dan lainnya. Ini kerana Abu Talib adalah bapa angkat yang memelihara dan menjaganya sejak kecil lagi dan bagaimana hubungan kasih sayang yang terjalin antara anak saudara dengan bapa saudaranya itu. Menurut pendapat yang terkuat, ibu bapanya (ibu bapa nabi) adalah terselamat, malah kata para ulama lagi, seluruh datuk nenek dari keturunannya dikira dari ahlul fatrah lagi bersih dari sebarang keaiban. Ini berdasarkan sabdanya yang bermaksud: “Aku sentiasa berpindah-pindah dari benih yang suci dari satu generasi ke satu generasi yang baik-baik (tidak bercampur) bukan dari benih yang kotor dan jahat” (Riwayat Abu Nu’aim)
Malahan dikatakan ada hadis riwayat dari Urwah dari Aisyah: “Bahawa kedua ibu bapa Nabi pernah dihidupkan kerana permohonannya lalu hiduplah keduanya dan beriman dengannya lalu terus meninggal” (Riwayat Ibnu Syahin).
Kesimpulannya, akidah yang perlu dipegang ialah kedua ibu bapa Baginda adalah selamat sejahtera. Wallahualam.
Bagi al-Faqir, secara peribadinya, pertanyaan atau membangkitkan persoalan sebegini adalah merupakan satu perbuatan yang jahat adab kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, yang lahir dari seseorang yang kering hatinya daripada rasa kecintaan kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Sedangkan kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah merupakan qurb yang paling utama disisi Allah. Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda:
والذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Artinya: Demi dzat yang diriku berada didalam genggamanNya, tidak beriman seseorang dari kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada ibubapanya, anaknya dan manusia sekeliannya. [Hadits riwayat al-Bukhari dan Ahmad]

Salah satu tanda cinta kita kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ialah dengan tidak membuat atau membangkitkan sesuatu yang menyakiti baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Maka tidak diragukan bahawa membicarakan yang tidak baik tentang kedua ibubapa baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, menyakiti baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Allah Ta’ala berfirman:
وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Artinya: Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah at-Taubah: 61)

Didalam ayat lain Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِي ٱلدُّنْيَا وَٱلآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَاباً مُّهِيناً

Artinya: Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. (Surah al-Ahzab: 57)

Janganlah kita menjadi seumpama kaum Yahudi yang menyakiti Nabi Musa عليه السلام , sebagaimana firman Allah:
يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ آذَوْاْ مُوسَىٰ فَبرَّأَهُ ٱللَّهُ مِمَّا قَالُواْ وَكَانَ عِندَ ٱللَّهِ وَجِيهاً

Artinya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah menyakiti Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala tuduhan yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (Surah al-Ahzab: 69)

Qadhi Hussin berkata: Maka, kami tidak mengatakan sesutu kecuali apa yang diredha oleh Tuhan kami dan diredhai oleh Rasul kami. Dan kami tidak berani memberanikan diri terhadap kedudukan baginda yang mulia dan menyakiti baginda صلى الله عليه وآله وسلم dengan perkataan yang membuatkan baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak redha.
Qadhi Abu Bakar Ibn al-’Arabi, salah seorang imam didalam mazhab Maliki pernah ditanya perihal seorang lelaki yang mengatakan bahwa bapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berada di dalam neraka. Maka beliau (Qadhi Abu Bakar) menjawab: Sesungguhnya lelaki tersebut dilaknat Allah Ta’ala, kerana Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. (Surah al-Ahzab: 57). Dan tiada perkara yang menyakiti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang terlebih besar daripada seseorang itu mengatakan bahwa bapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berada di dalam neraka.
Apa untungnya mereka melemparkan isu ini ketengah masyarakat awam? Mengapa mereka mengajar masyarakat untuk tidak beradab dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم? Apa manfaatnya? Entahlah … akhir-akhir ini, ramai yang mencari ke‘glamour’an dengan melontarkan isu-isu yang sensitif, membesar-besarkan persoalan-persoalan khilafiah yang sepatutnya dihadapi dengan berlapang dada … porak-peranda kesatuan umat bila hal sebegini dilontarkan kepada masyarakat awam. Dan terdapat juga trend kini yang mengambil ilmu agama dengan hanya sekadar membaca dari buku-buku tanpa belajar dari mereka yang berkeahlian dan yang benar pegangan aqidahnya.
Adapun mengenai kedudukan ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang tersebut didalam kitab-kitab yang al-Faqir nyatakan diatas, secara mudahnya dijawab berdasarkan firman Allah iaitu:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولاً

Artinya: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Dan firman Allah:
رُّسُلاً مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزاً حَكِيماً

Artinya: Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (surah an-Nisa: 165)


Imam al-Baijuri menyebut didalam kitab Tuhfatul Murid ‘ala Jauharatut Tauhid:

Tanbih: Apabila engkau telah mengetahui bahwa ahli fatrah adalah golongan yang terselamat di akhirat menurut qaul yang raajih, maka mengetahuilah engkau bahwa kedua ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga terselamat, disebabkan keduanya tergolong daripada ahlul fatrah. Bahkan semua nenek moyang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjatuh) didalam kekufuran, kekotoran, keaiban (yang menjatuhkan maruah) dan tidak pula oleh sesuatu diantara apa-apa yang pernah dilakukan oleh kaum arab jahiliah, berdasarkan dalil naqliah, seperti firman Allah Ta’ala:
وَتَقَلُّبَكَ فِي ٱلسَّاجِدِينَ
Artinya: Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud (asy-Syu’ara: 219)
Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
لم أزل انتقل من الاصلاب الصاهرات إلى الأرحام الزكيات

Artinya: Sentiasa aku berpindah dari sulbi generasi-generasi yang suci kepada rahim-rahim yang bersih.


Dan selain yang demikian itu daripada hadits-hadits yang telah mencapai darjat mutawatir. – sekian petikan dari Tuhfatul Murid, halaman 68 –


Mengenai firman Allah Ta’ala dalam ayat 219 surah asy-Syu’ara diatas – وتقلبك في الساجدين Diriwayatkan dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما bahwa dia berkata: “Yakni diantara tulang-tulang sulbi nenek moyang Nabi Adam عليه السلام, Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Ibrahim عليه السلام, sampai Allah Ta’ala mengeluarkan baginda صلى الله عليه وآله وسلم sebagai seorang Nabi.” [lihat tafsir Qurthubi dan Thabari]

Diriwayatkan dari Watsilah bin Asqa’ bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah Ta’ala memilih Nabi Ismail عليه السلام dari anak-anak Nabi Ibrahim عليه السلام, memilih Bani Kinanah dan anak cucu Nabi Ismail عليه السلام, memilih Quraisy dari Bani Kinanah; memilih Bani Hasyim dari Quraisy, dan memilih diriku dari Bani Hasyim.” [hadits riwayat Ahmad dan Muslim. Hadits ini adalah riwayat Ahmad]

Dari Sayyidina Abbas رضي الله عنه diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan makhluk, lalu Dia menjadikan aku yang terbaik di antara mereka dan dari generasi terbaik mereka. Kemudian Allah Ta’ala memilih kabilah-kabilah, lalu menjadikan aku dari kabilah terbaik. Kemudian Dia memilih keluarga-keluarga, lalu menjadikan aku dari keluarga terbaik. Maka, aku adalah (makhluk) terbaik peribadinya dan terbaik keluarganya.” [hadits riwayat Ahmad dan at-Turmidhi]

Maka, jelas bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyebut, asal-usul keturunannya dengan sifat baik dan suci. Itu adalah dua sifat yang berlawanan dengan sifat kekafiran dan kesyirikan. Allah Ta’ala berfirman dengan menyebutkan sifat kaum musyirikin (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (jiwa musyirikin itu dianggap kotor, kerana menyekutukan Alllah – surah at-Taubah: 28
Mufti Terengganu, Sayyid Yusuf bin ‘Ali az-Zawawi, ketika ditanyakan soalan siapakah ahlul fatrah dan kesudahan mereka, maka beliau menjawab:
Ulama-ulama Islam maksudkan dengan “ahli fatrah” itu ialah mereka yang tidak sampai seruan Nabi dan tidak dibangkitkan kepada mereka utusan [Rasul] daripada Allah Ta’ala. Ulama` ini berkata bahwa mereka ini terlepas dari azab siksa hari akhirat. Sebagaimana firman Allah “وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا” Artinya: “Kami tidak akan menyiksa sehingga telah kami mengutus rasul”. Ayat 15 surah al-Isra’. Ulama juga meletakkan istilah ahli fatrah itu kepada kaum Quraisy dan lainnya yang telah mati sebelum diutus junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم menjadi Rasul dan mereka itu mengatakan bahwa mereka ini terlepas daripada azab siksa dengan sebab tidak sampai seruan Islam kepada mereka termasuklah kedua ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri.
Mengenai pembahagian ahlul fatrah, al-Faqir mengutip daripada tulisan Ustaz Mujahid bin Abdul Wahab bertajuk Keislaman Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , yang mana buku tersebut disemak oleh al-Fadhil Syaikh Muhamad Fuad Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi:
Menurut Professor Dr Judah al-Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran di Universiti al-Azhar di dalam kitabnya Hady al-Nairain, secara umumnya ahli fatrah dibahagikan kepada 4 kategori:
Golongan pertama: Mereka dikurniai hidayah oleh Allah a’al untuk mentauhidkanNya dari cahaya hati mereka tanpa menganut mana-mana ajaran Nabi sebelumnya. Diantara mereka ialah Qus ibn Sa’adah, Zaid bin Amru, Zuhair dan ‘Amir ibn al-Zorb
Golongan kedua: Mereka yang menganut agama yang dibawa Nabi-nabi terdahulu, patuh serta iltizam dengannya dan perkara yang berkaitan dengan kerasulan Rasul terakhir صلى الله عليه وآله وسلم bagi sesiapa yang mengenali Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم atau yang mengikuti jalan-jalan mereka yang mengetahui perutusan baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Diantara mereka iaialh Tubba al-Himyari yang memeluk Islam dan beriman 900 tahun sebelum kelahiran baginda صلى الله عليه وآله وسلم tatkala kaum Yahudi menceritakan kepadanya ( perihal Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) dari kitab-kitab agama mereka. Beliau pada asalnya merupakan penganut agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Begitu juga Waraqah ibn Naufal dan Utsman ibn al-Huwairith dan segelintir penduduk Najran yang tergolong dari kalangan pembahagian ini yang taat dan menganut agama tersebut.
Golongan ketiga: Mereka yang tidak mensyirikkan Allah Ta’ala dan tidak pula mentauhidkanNya serta tidak menganut sebarang agama Nabi sebelumnya. Mereka juga tidak mengasaskan agama sendiri dan tidak pula sampai kepada mereka ajaran Nabi sebelumnya. Bahkan, kekallah mereka dengan arus kehidupan secara semulajadi. Kategori ini merupakan golongan yang menepati istilah Ahli Fatrah yang sebenar dan ketetapan bagi mereka ialah terselamat dari sebarang azab berdasarkan firman Allah Ta’ala:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولاً

Artinya: Dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul.

Golongan keempat: Mereka yang menukar dan menokok tambah ajaran Nabi sebelumnya serta mensyirikkan Allah Ta’ala. Mereka mensyariatkan agama mereka sendiri dan menentukan hukum-hakam menurut kehendak hawanafsu. Kebanyakkan mereka adalah dari golongan arab jahiliyyah. Diantara mereka ‘Amru ibn Luhai yang pertama sekali mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliyyah.
Menurut Imam Zurqani didalam Syarah al-Mawahib al-Laduniyyah [pendapat beliau adalah bertepatan dengan pembahagian ketiga - abuzahrah], kedua ayahanda dan bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tergolong didalam kategori yang ketiga kerana tidak mendapat sebarang seruan dakwah Nabi-nabi yang terdahulu disebabkan zaman mereka yang terkemudian. – Tamat petikan dari buku keislaman ayahanda dan bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Halaman 20 – 23 –
Mufti Mesir, Dr ‘Ali Jum’ah juga menjawab persoalan seumpama ini didalam kitabnya al-Bayan Lima Yasyghul al-Adzhan dan juga al-Bayan al-Qawim li Tashhih Ba’dhi al-Mafahim:

Ketahuilah bahawa ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan nenek-moyang baginda, jika tsabit bahawa sebahagian mereka jatuh dalam sesuatu yang secara zahir merupakan kesyirikan, maka mereka bukanlah orang-orang yang musyrik. Mereka bersikap demikian kerana mereka tiada diutuskan keatas mereka Rasul. Maka golongan ahlussunnah waljamaah seluruhnya meyakini bahawa siapa yang terjatuh kedalam kemusyrikan, sedangkan dia berada di dalam masa penggantian syariat-syariat tauhid dalam rentang masa kosong (fatrah) antara satu Nabi dengan Nabi selanjutnya, maka ia tidak disiksa.
Dalil-dalil yang menunjukkan hal itu cukup banyak, antara lain berdasarkan firman Allah Ta’ala:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولاً

Artinya: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra’: 15)

ذٰلِكَ أَن لَّمْ يَكُنْ رَّبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا غَٰفِلُونَ
Artinya: Yang demikian itu adalah kerana Tuhanmu tidaklah membinasakan kota-kota secara aniaya, sedang penduduknya dalam keadaan yang lengah (maksudnya: penduduk suatu kota tidak akan diazab, sebelum diutuskan seorang Rasul yang akan memberikan peringatan kepada mereka.)” (Surah al-An’am: 131)
وَمَآ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلاَّ لَهَا مُنذِرُونَ
Artinya: Dan, kami tidak membinasakan sesuatu negeripun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberikan peringatan. (surah asy-Syu ‘ara: 208).
رُّسُلاً مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزاً حَكِيماً

Artinya: Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (surah an-Nisa: 165)

Maka, tidak berdiri tegak hujjah (bagi Allah Ta’ala) terhadap makhluk kecuali dengan mengutus Rasul-rasul. Dan tanpa mengutus Rasul-rasul, maka manusia tidak berada dalam hujjah, dengan rahmat Allah Ta’ala dan kurniaNya. Ayat-ayat ini menunjukkan apa yang diyakini oleh ahlul haq, golongan ahlussunnah waljamaah, bahawa Allah Ta’ala dengan rahmat dan kurniaNya tidak menyiksa seorang pun sehingga diutuskan kepadanya Rasul yang memberi peringatan.
Mungkin sahaja ada orang yang mengatakan: “Barangkali kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah diutus Rasul pemberi peringatan kepada mereka dan mereka berdua syirik setelah sampainya hujjah.” Maka ini merupakan sesuatu yang tidak dikemukakan oleh teks ajaran, bahkan nash-nash yang menafikannya dan menegaskan sebaliknya. Allah Ta’ala berfirman:
وَمَآ آتَيْنَاهُمْ مِّنْ كُتُبٍ يَدْرُسُونَهَا وَمَآ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمْ قَبْلَكَ مِّن نَّذِيرٍ
Artinya: Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu). (surah Saba: 44)
Pada ayat lain Allah Ta’ala berfirman :
لِتُنذِرَ قَوْماً مَّآ أَتَاهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
Artinya: … supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya).
Dan pada ayat lain lagi, Allah Ta’ala berfirman:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِيۤ أُمِّهَا رَسُولاً يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي ٱلْقُرَىٰ إِلاَّ وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ
Artinya: Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.
Nash-nash yang telah dikemukakan itu menunjukkan bahawa kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak diseksa bukan kerana mereka berdua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tetapi kerana termasuk dalam orang-orang yang hidup pada masa fatrah (ruang waktu kosong antara para Rasul). Dan hukum mereka sudah jelas di kalangan kaum muslimin.
Imam Syathibi berkata [didalam al-Muwafaqat, juz 3]: “Telah berlaku ketetapan Allah Ta’ala (sunnatuLlah) pada makhlukNya bahawa Dia tidak menyiksa kerana pelanggaran kecuali setelah mengutus rasul. Lalu apabila hujjah sudah berdiri tegak atas mereka: siapa yang memilih beriman, maka ia beriman; dan siapa yang memilih kafir, maka ia kafir. Bagi setiap pilihan ada balasan setimpal.” – petikan dari al-Bayan Lima Yasyghul al-Adzhan, halaman 171 – 172 –
Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, silalah rujuk kitab-kitab yang telah al-Faqir sebutkan diatas tadi. InsyaAllah al-Faqir akan menyambung lagi tulisan ini didalam bahagian 2 dan 3 …….
اَلَّلهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مَنْ أَحْوَالِ أَهْلِ النَّارِ

Sekian.
وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
~ al-haqir al-faqir abu zahrah -

Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم – Bahagian 2


Sambungan daripada entri sebelumnya. Pada bahagian kedua ini al-Faqir ingin membawakan beberapa dalil yang dibawa oleh ulama tentang keimanan ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Al-Faqir mulai dengan memetik apa yang tersebut didalam kitab Nur al-Dzolam karangan asy-Syaikh al-‘Alim al-‘Allamah Abi ‘Abd al-Mu’thi Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali Nawawi al-Banten (Syaikh Nawawi Banten) رحمه الله تعالى (maksudnya):
Far’un (cabang): Telah berkata Syaikh al-Baajuriy: Adapun yang benar, semoga Allah memperkenankan kami atasnya, sesungguhnya kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah orang selamat menurut pendapat yang mengatakan [qil]: Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menghidupkan kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم hingga keduanya beriman kepada baginda, kemudian Allah mewafatkan keduannya kembali – berdasarkan hadits yang telah datang mengenai hal itu, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Urwah daripada ‘Aisyah bahwa sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memohon kepada Tuhannya untuk menghidupkan [kembali] kedua ibubapa baginda, lalu Allah menghidupkan keduanya lalu mereka berdua beriman kepada baginda, kemudian Allah mewafatkan keduanya.
Syaikh as-Suhailiy berkata: Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu untuk mengkhususkan NabiNya dengan apa yang Dia kehendaki dari anugerahnya dan memberikan nikmat padanya dengan apa yang Dia kehendaki dari kemuliaanNya – [Nur adz-Dzolam Syarh Mandzumah ‘Aqidah al-Awwam; cetakan Dar al-Hawi; halaman 114 – 115]
Bagi sapa-sapa yang pernah mempelajari kitab Nur adz-Dholam ka ataupun Tuhfatul Murid syarah bagi Matan Jauharah, maka, insyaAllah dia akan bertemulah dengan perbahasan tersebut. Oh ya … sapa-sapa yang berminat nak cd mp3 pengajian Tuhfatul Murid oleh Baba Ismail Sepanjang bolehlah hubungi al-Faqir …. habih sebuah kitab. 60 keping cd. Maaf ya, promosi sikit ……. bisnis kampungan … :) )
Kembali kepada tajuk ……. Tersebut didalam kitab al-Nasikh wa al-Mansukh oleh Ibn Syahin, sepotong hadits, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (maksudnya):
Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibn al-Hassan ibn Ziyad, hamba kaum Anshor, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibn Yahya al-Hadhrami ketika di Mekah, telah menceritakan kepada kami Abu Ghuzayyah Muhammad ibn Yahya al-Zuhri, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahhab ibn Musa daripada ‘Abdurrahman ibn Abi al-Zannad daripada Hisyam ibn Urwah daripada bapanya [iaitu Urwah ibn al-Zubair ibn al-Awwam ibn Khuwailid ibn Asad bin ‘Abdul Uzza ibn Qushai. Urwah adalah anak saudara kepada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها] daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها : Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pergi ke Hujuun [Mu’alla atau Ma’ala iaitu kawasan perkuburan di Mekah. Dinamakan al-Hujuun kerana dinisbahkan kepada bukit al-Hujuun – abuzahrah] dalam keadaan dukacita dan bersedih, lalu duduk disana selama masa yang dkehendaki oleh Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian baginda kembali dalam keadaan gembira, maka aku bertanya: Wahai. Rasulullah! Engkau pergi ke Hujuun dalam keadaan dukacita dan bersedih lalu engkau duduk disana selama masa yang dikehendaki oleh Allah, kemudian engkau kembali dalam keadaan gembira. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Aku meminta kepada Allah lalu Allah menghidupkan kembali ibuku, maka dia beriman denganku, kemudian Allah mematikannya semula.
Az-Zahabi dan segolongan ahli hadits mengatakan hadits ini sebagai maudhu kerana didalamnya kerana
  • Terdapat seorang 2 perawi hadits yang majhul iaitu Abdul Wahhab ibn Musa dan Muhammad ibn Yahya.
  • Bertentangan dengan hadits shohih iaitu hadits Rasullulah صلى الله عليه وآله وسلم meminta keampunan untuk ibu baginda.
Maka untuk menolak pendapat tersebut:

(1) Perawi yang majhul: Al-Hafidz Jalaluddin al-Sayuthi mengatakan bahwa pendapat az-Zahabi ditolak kerana Abdul Wahhab ibn Musa, perawi yang dikatakan majhul itu tergolong didalam perawi yang meriwayatkan hadits daripada Anas bin Malik dan beliau dikenali sebagai Abu al-Abbas al-Zuhri. Begitu juga Muhammad ibn Yahya juga dikenali, dimana peribadi beliau yang baik diceritakan oleh Abu Sa’id ibn Yunus di dalam Tarikh Misr. Maka sebahagian ahli hadits telah bersepakat mengatakan hadits ini bukanlah maudhu’ tetapi hanya mencapai tahap hadits dhoif yang mana ianya boleh dijadikan sandaran untuk beramal dalam perkara-perkara khosois, manaqib dan fadhoil. Pendapat Imam Sayuthi ini sejajar dengan pendapat sesetengah ahli hadits seperti Ibn Syahin, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn ‘Asakir dan al-Suhaili. Begitu juga al-Qurthubi dan Ibn Jarir ath-Thabari.

(2) Bertentangan dengan hadits shohih: Sebahagian ahli hadits dan ulama yang mengatakan hadits ihya diatas maudhu’ kerana bertentangan maksud dengan hadits yang shohih iaitu (maksudnya):
(a) Sesungguhnya kubur yang kamu semua lihat aku berdoa disisinya tadi adalah kubur Aminah binti Wahhab. Sesungguhnya aku meminta izin daripada Allah untuk menziarahinya, maka Allah mengizinkannya. Kemudian aku meminta izin untuk beristighfar baginya dan Allah tidak mengizinkan bagiku dan turunlah keatasku ayat (maksudnya): “Dan tidak boleh bagi Nabi dan orang-orang yang beriman untuk memohon ampun bagi kaum musyrikin. (hadits riwayat al-Hakim didalam al-Mustadrak dan az-Zahabi menshahihkannya)
(b) Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk memohonkan ampun bagi ibuku, maka Dia tidak mengizinkanku. Dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia mengizinkanku.” (hadits riwayat Imam Muslim)
Menurut al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi didalam at-Ta’zim wa al-Minnah fi Anna Abaway Rasulillah fi al-Jannah, hadits pertama (a) yang diriwayatkan oleh al-Hakim didalam al-Mustadrak dan dishohihkan oleh az-Zahabi dan kemudian az-Zahabi mendhoifkannya pula didalam Mukhtasar al-Mustadrak. Maka telah wujud pertentangan pendapat az-Zahabi pada hadits yang sama. Seterusnya as-Sayuthi mengatakan bahwa riwayat al-Hakim ini bersalahan dengan apa yang dinyatakan oleh di dalam shohih al-Bukhari mengenai sebab turunnya ayat:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَٱلَّذِينَ آمَنُوۤاْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ

Ayat 113 dari surah at-Taubah ini turun di Mekah pada ketika kewafatan Abu Tholib.


Manakala, menurut Ibn Syahin (w385H) didalam kitabnya an-Nasikh wal Mansukh bahwa hadits istighfar iaitu hadits larangan Allah ke atas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم daripada memohon ampun buat ibu baginda telah dimansukhkan oleh hadits yang datang kemudian iaitu hadits ihya’, hadits ibu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dihidupkan semula. Pendapat ini juga didokong oleh Imam al-Qurthubi sebagaimana kata beliau didalam kitab at-Tazkirah fi ahwal al-Mauta wal akhirah [maksudnya kurang-lebih]:

Fasal: Telah datang pada bab ini: Hadits yang bertentangan dengan hadits dalam bab ini [yang dibincangkan sebelumnya], iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Abu Bakar Ahmad ibn ‘Ali al-Khatib didalam kitabnya as-Saabiq wa al-Laahiq dan Abu Hafs ‘Umar ibn Syahin didalam kitab al-Naasikh wa al-Mansuukh, dengan isnad keduanya itu daripada Saiyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها , beliau berkata: Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengerjakan haji wada, maka membawaku melewati ‘Aqabah al-Hujuun [Ma’ala], baginda kelihatan sedih dan murung. Lalu akupun ikut menangis kerana tangisan baginda. Kemudian baginda turun dari tunggangannya dan berkata kepada: Tunggulah disini sebentar. Maka aku bersandar dekat unta. Setelah jarak masa yang panjang, baginda kembali dalam keadaan senyum gembira. Maka aku berkata kepada baginda: Demi ayah dan ibuku, wahai Rasulullah! Tadi ketika bersamaku, engkau kelihatan sedih sehingga aku turut menangis kerana tangisanmu, wahai Rasulullah. Kemudian engkau kembali kepadaku dengan tersenyum gembira, apa yang terjadi wahai Rasulullah? Maka baginda bersabda: Aku telah melawati kubur ibuku Aminah, kau bermohon kepada Allah, Tuhanku agar Dia menghidupkan dia [Aminah] kembali, maka Dia menghidupkan kembali lalu dia beriman kepadaku dan [kemudian] mewafatkan dia kembali – lafaz hadits ini daripada al-Khatib. As-Suhailiy telah menyebut didalam Raudah al-Unfi dengan sanad yang padanya terdapat perawi-perawi yang tidak dikenali (majhul): Bahwasanya Allah Ta’ala telah menghidupkan bagi baginda Rasululah صلى الله عليه وآله وسلم ayah dan ibu baginda dan mereka berdua beriman kepadanya.
Berkata Imam al-Qurthubi: Tiada pertentangan (mengenai masalah ini) kerana peristiwa dihidupkannya semula ini diriwayatkan oleh ‘Aisyah terkemudian dari hadits memohon izin untuk beristighfar buat ibu baginda. Sesungguhnya yang demikian itu terjadi ketika haji wadaa’. Maka Ibn Syahin telah menjadikan hadits ini sebagai pemansukh bagi hadits larangan tadi.
Maka difahami dari pendapat Ibn Syahin dan Imam al-Qurtubi tersebut, bahwa hadits ihya’ itu tidaklah maudhu’ kerana, bagaimana boleh hadits maudhu’ memansukhkan hadits lain??????

Dan menurut Dr ‘Ali Jum’ah, Mufti Mesir didalam al-Bayan pula:

“… pada hadits tersebut tidak terdapat pengungkapan yang tegas bahawa ibu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam neraka. Tidak mendapat izin untuk memohonkan ampun tidak bererti menunjukkan bahawa dia musyrik. Jika tidak, tentu tidak mungkin Tuhannya mengizinkan untuk menziarahi kuburnya, kerana tidak boleh menziarahi kubur orang-orang musyrik dan berbakti kepada mereka”.
Manakala Dr. Abdul Malik Abdurrahman al-Sa’adi pula berkata:
“… baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak diizinkan itu, bukanlah bermaksud bahwa dia (ibu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) daripada ahli neraka. Mungkin tidak diizinkan itu, kerana tidak terdapat dosa pada ibu baginda, kerana dia belum lagi dianggap mukallaf, maka tidak dicatit dosa-dosa untuknya.
Maka disimpulkan sebagaimana disebut oleh Dr ‘Ali Jum’ah, bahawa pendapat yang kuat adalah bahawa kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu selamat (tidak termasuk neraka), bahkan juga seluruh nenek moyang baginda. Semoga Allah Ta’ala menganugerahkan kepada kita cinta kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan mengenal darjat kedudukannya dengan baik serta beradab dengan baginda agar terhindar kita dari keceluparan dalam memperihalkan mengenai ibuayah baginda.
InsyaAllah al-Faqir akan menyambung lagi bahagian terakhir dari tajuk ini …….
اَلَّلهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مَنْ أَحْوَالِ أَهْلِ النَّارِ
Perbahasan tentang bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
 http://www.salafytobat.wordpress.com

Tidak ada komentar: